KUCHING, 11 Okt: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Idris Buang menyifatkan Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor sebagai seorang yang berdisiplin dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas.
Menurutnya, Allahyarham juga yang memiliki semangat kesukanan yang tinggi.
“Satu penghormatan untuk saya berkongsi tentang Allahyarham kerana beliau seorang rakan yang baik, suka berjenaka dan mudah tersenyum.
“Meskipun begitu, beliau memiliki etika kerja yang sangat dikagumi, berdisiplin dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Bujang meninggal dunia di Pusat Pakar Perubatan Normah, Kuching, pada Selasa.
Jenazah selamat dikebumikan jam 11 pagi, hari ini di Tanah Perkuburan Islam Semariang. -TVS