Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Information Chief, Dato Idris Buang. Pix: PBB

Spektrum di Bumi Kenyalang hak milik Sarawak sepenuhnya

ByAmirah Shawel

KUCHING, 11 Okt: Sarawak berhak sepenuhnya untuk mengawal selia sumber yang berada di tanah Bumi Kenyalang berdasarkan Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan).

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Dato’ Idris Buang memaklumkan sumber berkenaan yang melibatkan komponen karbon adalah termasuk di seluruh pelantar benua, dasar laut dan ruang udara bagi penyimpanan karbon.

“Hak kedaulatan Sarawak terhadap spektrum sentiasa dilindungi oleh undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memberikan autonomi kepada Sarawak untuk menggubal undang-undang ini.

“Kewujudan undang-undang unik ini khususnya melibatkan perkara berkaitan tanah, minyak dan gas, hutan serta perkara berkaitan yang berkuat kuasa sejak sebelum Sarawak membentuk Malaysia,” katanya.

Beliau menyokong kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terhadap dakwaan pihak tertentu yang ingin menuntut kuasa ke atas komponen karbon dari Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang itu juga menegaskan bahawa perkara di bawah autonomi Sarawak seperti agama, hak milik asal dan hal ehwal kerajaan tempatan juga tidak seharusnya dipersoal.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha merangka dan melaksana strategi untuk membangunkan Bumi Kenyalang sebagai pusat kuasa terutama dalam tenaga hijau di rantau ini.

Segala tuntutan tidak munasabah akan mengganggu potensi ekonomi Sarawak dengan pelabur antarabangsa.

“Permintaan untuk tenaga hijau kami dari Singapura, Brunei Indonesia dan Sabah menunjukkan potensi yang besar untuk Sarawak dan secara tidak langsung Malaysia.

“Oleh itu, tuntutan yang tidak bertanggungjawab untuk cuba menjejaskan atau merampas hak dan tadbir urus Sarawak ke atas perkara-perkara tersebut, akan mencemarkan usaha dan potensi ekonomi negeri secara halus di mata pelabur,” katanya.

Beliau menegaskan mana-mana individu yang mendakwa atau cuba menuntut untuk kuasa ke atas perkara-perkara tersebut perlu meneliti semula sejarah dan undang-undang yang ada.

Pada 8 Oktober lalu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan terdapat pihak tertentu yang ingin ‘merampas’ kuasa berkenaan hak karbon daripada Kerajaan Sarawak.

Menurutnya, beliau akan mempertahan hak tersebut memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa Sarawak berdasarkan Undang–Undang Kanun Tanah (Pindaan). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan