KUCHING, 11 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pemergian Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor sebagai kehilangan besar kepada Sarawak.
Mengulas lanjut, katanya Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan Sarawak terutama dalam transisi kepada pembangunan industri.
“Malah, Allahyarham sentiasa komited dalam tugas sejak menggalas tanggungjawab bermula dari Pegawai Daerah sehingga dilantik menjadi Setiausaha Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Sarawak.
“Dua jawatan penting yang telah dipegang Allahyarham iaitu Setiausaha Kewangan Negeri yang mana kita masih lagi membangunkan negeri kita transisi kepada pembangunan industri, beliau satu-satunya orang yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan Bintulu,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi kediaman Allahyarham di Jalan Abong Taib di Satok hari ini.
Pemergiaan Allahyarham katanya, merupakan berita sedih kerana Sarawak kehilangan seorang pentadbir, pengurus dan ahli ekonomi.
Malah ketika hayatnya, Allahyarham sentiasa memberikan pendapat dan berkongsi idea terutama dari sudut pembangunan ekonomi.
“Hari ini kita rasa sedih dengan kehilangan seorang pemimpin kita, sorang pentadbir, pengurus seorang ahli ekonomi yang telah menyumbang banyak kepada pembangunan Sarawak,” katanya.
Allahyarham yang genap 88 tahun pada 8 Ogos lalu, menghembuskan nafas terakhir selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Rawatan Pakar Normah sejak Jumaat lalu.
Untuk rekod Allahyarham Bujang merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dari tahun 1984 hingga 1992, dan pernah memangku jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Januari 2016, apabila Tun Abdul Taib Mahmud bercuti ke luar negara.-TVS