MIRI, 11 Okt: Sebanyak 14 tangki air kosong yang terletak di Tingkat 8 Bangunan Kuarters Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Melayu 1 yang sedang dalam pembinaan musnah terbakar di sini, pada Selasa.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1), Ismaidi Ismail mendedahkan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Menurutnya pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.37 petang sejurus itu tiga pasukan bomba dengan kekuatan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, BBP Lopeng dan BBP Miri Sentral telah dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi pemadaman.
Ismaidi memberitahu sebaik tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan 14 unit tangki air yang masih kosong di mana tujuh unit di kanan bangunan terbakar 100 peratus manakala empat daripada tujuh unit di kiri bangunan turut terbakar di bahagian penutup tangki.
“Pasukan Bomba telah bertindak melakukan pemadaman menggunakan satu aliran (11 gulung hos), satu cabang pembahagi dan dua pancutan.
“Sumber air diperolehi daripada pili bomba berdekatan dan mengguna pam jentera bomba di mana bahagian pertama satu pancutan nozel pemadaman dari arah bahagian sebelah kiri di tingkat 8 dan pancutan bahagian kedua dari bahagian sebelah kanan di tingkat yang sama bagi mengawal dan memadamkan tangki air kosong yang hangus,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Sementara itu katanya kebakaran telah berjaya dikawal pada jam 6.20 pagi.
Ismaidi memberitahu pasukan keluaran operasi kemudian menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ sehingga punca api padam sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 6:55 petang.
“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Penyiasatan Kebakaran JBPM Zon 6,” ujarnya. -TVS