KUCHING, 10 Okt: Inisiatif pendidikan universiti percuma yang dijadual dilaksanakan pada 2026 diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini merupakan matlamat jangka panjang Kerajaan Sarawak.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ia memerlukan perancangan rapi untuk memastikan pelaksanaan yang lancar.
“Ini memerlukan mengambil kira prestasi kewangan dan keupayaan kerajaan Sarawak bukan sahaja pada masa ini tetapi juga pada masa hadapan agar program itu dapat dikekalkan dan memberi manfaat kepada anak muda Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit yang menggesa Kerajaan Sarawak melancarkan inisiatif pendidikan tinggi percuma menjelang tahun depan.
Bagi menjayakan visi jangka panjang ini adalah melalui penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang hanya akan beroperasi mulai tahun depan. Objektif utama dana ini adalah menjaga kepentingan Sarawak dan generasi akan datang, jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perancangan rapi penting bagi mengelakkan inisiatif ini menjadi insentif sekali sahaja atau dilaksanakan secara skala kecil.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut menawarkan biasiswa dan dermasiswa melalui Yayasan Sarawak kepada pelajar bagi mengurangkan beban kewangan.
Yayasan Sarawak turut memperkenalkan diskaun 30 peratus bagi bayaran balik Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya percaya wawasan pendidikan percuma yang diperkenalkan oleh Sarawak harus dicontohi oleh Kerajaan Persekutuan kerana pelaburan dalam pendidikan adalah kunci untuk masa depan Malaysia. Mereka harus menerima pakai pelan tindakan Sarawak mengenai perancangan pendidikan percuma,” katanya.
Fazzrudin juga yakin jika dana kerajaan Sarawak tidak disalurkan bagi membiayai projek pembangunan infrastruktur yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, contohnya pembinaan jambatan dan sekolah, Kerajaan Sarawak boleh menggunakan peruntukan itu bagi tujuan pendidikan.
“Mungkin Senator Abun Sui boleh menawarkan nasihat kepada Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan visi pendidikan percuma melalui pemerhatian beliau terhadap model Sarawak dengan merangka mekanisme. – TVS



