KUCHING, 10 Okt: Keadaan ekonomi Sarawak yang menyakinkan telah menjadikan pelabur industri barang kemas dan aksesori terkemuka optimis untuk melebarkan sayap perniagaan ke bahagian lain di negeri ini.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer Habib berkata, pengiktirafan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia pada Julai lalu merupakan petunjuk kuasa beli rakyat di negeri ini semakin meningkat.
“Terdapat ramai pengunjung luar negara yang datang membeli-belah, terutamanya dari Brunei dan Indonesia, dan Sarawak diramalkan sebagai pasaran yang penting bagi kami.
“Oleh itu, HABIB mempunyai pandangan jangka panjang bagi pasaran Sarawak dan secara amnya di Kuching kerana terdapat permintaan yang tinggi untuk barangan kami.
“HABIB teruja untuk berkembang di Sarawak serta melihat potensi di bahagian Sarawak lain yang akan dibuka kerana kami amat yakin dengan keadaan ekonomi di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bilik Pameran Baharu HABIB yang telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di The Spring Shopping Mall di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Meer Habib berkata, pembelian barang kemas di Malaysia dilihat bukan sekadar sebagai perhiasan namun juga sebagai sebuah bentuk pelaburan.
“Kami melihat perniagaan barang kemas berkembang ketika waktu pandemik dan orang ramai mula sedar bahawa terdapat nilai yang baik dalam barang kemas, terutamanya emas.
“Ini kerana dalam tempoh ini banyak negara lain yang meminjam wang dengan banyak sehingga inflasi meningkat secara mendadak, dan kita dapat lihat bahawa emas adalah salah satu satu lindung nilai terbaik terhadap inflasi,” katanya.
Untuk rekod, HABIB ditubuhkan pada tahun 1958 dan merupakan jenama barang kemas mewah terkemuka yang terkenal dengan ketukangan yang unik, reka bentuk abadi dan kualiti yang luar biasa. – TVS



