Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia wajib memikul tanggungjawab menghentikan pertempuran di bumi Palestin dengan serta-merta. Foto fail.

Kuasa besar wajib pikul tanggungjawab henti pertempuran serta-merta di Palestin – Agong

ByBernama

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia wajib memikul tanggungjawab menghentikan pertempuran di bumi Palestin dengan serta-merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata langkah itu bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan pertumpahan darah yang lebih teruk di negara berkenaan.

“Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan konflik terkini di bumi Palestin yang telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahari berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada ketetapan Kerajaan Malaysia yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera agar semua pihak menghentikan keganasan, sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Seri Paduka turut menyeru negara-negara Islam terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani kesengsaraan dan masalah yang dihadapi oleh Palestin.

“Ini adalah kerana penafian hak asasi rakyat Palestin, terutamanya pembentukan sebuah negara merdeka dan berdaulat dan penindasan yang berterusan adalah punca utama ketegangan Israel-Palestin berterusan.

“Selain itu, ia juga telah diakui bahawa rakyat Palestin berterusan diselubungi pendudukan haram, sekatan dan penderitaan serta pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa sejak sekian lama,” katanya.

Zahari berkata Seri Paduka bertitah Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar pergolakan dan keganasan terbaharu itu dapat dihentikan segera

Katanya Seri Paduka juga mendoakan supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Katanya, Al-Sultan Abdullah turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan