Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerima cenderahati daripada Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai selepas program terbitan Bernama Radio Jendela Fikir di Wisma Bernama, hari ini. Foto: Bernama

Belanjawan 2024: KPK kemuka tujuh cadangan bagi kemampanan sektor perladangan, komoditi – Fadillah

ByBernama

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengemukakan tujuh cadangan dan semakan semula kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan kemampanan industri berkaitan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri KPK berkata, tumpuan bagi belanjawan yang dijadual dibentangkan pada Jumaat ini, juga adalah sejajar dengan permintaan pihak industri dan pekebun kecil.

Malah, katanya, penekanan terhadap aspek kemampanan itu penting memandangkan kedudukan sektor tersebut sebagai antara penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta eksport negara.

“Namun, apa yang lebih utama adalah bagaimana peningkatan itu dapat menyumbang kepada kesejahteraan atau menambah pendapatan rakyat, terutamanya bagi kalangan pekebun kecil dalam semua sektor.

“Kita mempunyai lapan sektor termasuk kelapa sawit, getah, koko serta lada. Fokus itu seperti bentuk bantuan diberikan terutama dalam keadaan harga getah yang rendah ketika ini selain kos input pertanian yang semakin meningkat,” kata beliau kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program ‘Jendela Fikir’ di Bernama Radio di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Fadillah berharap agar permintaan KPK bagi Belanjawan 2024 itu diterima serta dapat dilaksanakan untuk membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan serta mengekalkan pengeluaran hasil masing-masing agar industri terbabit tidak terjejas.

Dalam pada itu, mengulas konflik Israel-Palestin, beliau berkata keadaan itu pasti memberi kesan terhadap perkembangan ekonomi negara serta global.

“Apa juga keadaan yang berlaku di dunia pasti memberi kesan kepada kita. Atas alasan itu, dari segi pegangan atau dasar (negara), kita berharap supaya peperangan tidak berlaku.

“Keamanan adalah amat penting untuk dunia. Peperangan sebaliknya menjejaskan semua pihak, bukan setakat Malaysia sahaja. Oleh itu, kita mengharapkan agar semua konflik, tidak kira Israel-Palestin atau Ukraine-Rusia, dapat diselesaikan sebaik mungkin agar (ekonomi) dunia dapat pulih,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan