KUCHING, 9 Okt: Dua lelaki maut apabila lori simen yang dinaiki mereka merempuh penghadang tepi jalan raya di laluan jejambat Sri Aman menghala ke Betong pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, PBK I Tony Morni berkata, mangsa yang maut ialah pemandu lori, Darwin Dingin, 42, dan kelindan, Belon Sunkong, 46, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati berlakunya kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori simen dengan muatan terbabas melanggar penghadang tepi jalan raya, dan terdapat mangsa iaitu dua orang lelaki dewasa tersepit di bahagian pemandu.
“Pasukan bomba dengan PPE lengkap, membuat ‘size up’ seterusnya dibantu oleh jengkaut untuk membuka ruang kerja bagi pasukan bomba untuk mengeluarkan mangsa. Setelah ruang kerja diwujudkan, pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, kedua – duanya disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM Sri Aman,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Tony, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
Tony berkata, operasi itu melibatkan tujuh anggota BBP Sri Aman, lima anggota PDRM, empat anggota APM dan enam anggota Naim Gamuda. – TVS