SRI AMAN, 9 Okt: Seorang warga emas maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Sri Aman – Betong pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kemalangan tersebut berlaku di simpang ‘pusingan U’ Nanga Klassen yang melibatkan sebuah kereta Honda Jazz dan Proton Saga.
“Mangsa, Jeffry Dujin Bansing, 71, yang merupakan pemandu Proton Saga mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan maut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian selepas dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat.
“Jelin @ Hillary Amak, 72, penumpang Proton Saga dan Mohammad Amri Ali,32, pemandu Honda Jazz yang mengalami kecedaraan telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya lagi, kerja pembersihan jalan untuk membersihkan sisa kemalangan dilakukan dengan menggunakan satu aliransalur bantu dan operasi ditamatkan pada jam 8.22 pagi.
Operasi melibatkan kekuatan seramai lima anggota dengan menggunakan Fire Rescue Tender (FRT) dan dua anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – TVS