BETONG, 8 Okt: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan terdapat pihak tertentu yang ingin ‘merampas’ kuasa berkenaan hak karbon daripada Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak berkata, tindakan itu tidak wajar memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa Sarawak berdasarkan Undang – undang Kanun Tanah (Pindaan).
“Saya berterus terang dengan anda semua, saya akan mempertahankan karbon, ini hak Sarawak (malah) telah dimasukkan ke dalam Undang-undang Kanun Tanah yang telah dipinda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong di sini hari ini.
Undang-undang karbon hasilkan impak positif kepada ekonomi – Hazland
Yang turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pada Mei tahun lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak smeluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 yang membolehkan kerajaan Sarawak mengawal ruang udara di atas wilayahnya.
Pindaan RUU itu juga membolehkan Sarawak menyelia dan mengawal penggunaan tanah di daratan dan luar pesisir termasuk dasar laut yang membentuk pelantar benua.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata susulan pindaan berkenaan, apa sahaja keputusan mengenai kardon terletak di bawah bidang kuasa Sarawak termasuk tenaga.
“Saya sudah hantar peguam kita untuk lihat undang – undang Komanwel, kalau sentuh undang – undang dan hak kita, kita akan lawan semula, kita dalam PBB jangan takut,” katanya.
Abang Johari berkata ini termasuk kes dengan Petronas yang dibawa ke mahkamah dan keputusan memihak kepada Sarawak. -TVS