KUCHING, 8 Okt: Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bakal menamatkan zaman bujang dengan Dayang Anisha Rosnah Adam pada Januari tahun depan.
Siaran berita Radio Televisyen Brunei melaporkan, istiadat perkahwinan pasangan diraja itu bakal berlangsung selama 10 hari bermula dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari.
Kemudian akan berlangsungnya Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari 2024 dan disusuli dengan Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dan Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja.
Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja pula dijadualkan pada 10 Januari 2024.
Siaran berita berkenaan juga memaklumkan Istiadat Akad Nikah Diraja akan berlangsung pada 11 Januari 2024 diikuti dengan Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja pada 14 Januari.
Kemudian acara gemilang gemilang itu akan diteruskan dengan Majlis Persantapan Diraja pada 15 Januari 2024 dan istiadat terakhir iaitu Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga pada 16 Januari 2024.
Difahamkan bakal isteri Pengiran Muda Mateen merupakan cucu kepada penasihat khas Sultan Brunei, Pehin Datuk Isa.
Putera Mateen, 32, ialah anakanda kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.
Tinjauan di ruang komen beberapa portal mendapati, ramai wanita yang menulis mereka kecewa dengan pengumuman tersebut namun ramai juga peminat putera raja itu memberi lampu hijau.
“Terlalu cantik bakal isterinya dan sesuai sangat,” kata Ain Perfume.
“Wah, bagai pinang dibelah dua, tahniah,” kata Sara Salleh. -TVS