KUCHING, 8 Okt: Lagu Ringa Linga oleh Taeyang menutup tirai Borneo Sonic Music Festival 2023 malam tadi.
Penampilan ulung Taeyang di Bumi Kenyalang amat dinanti-nantikan penggemar K-Pop terutamanya dari fandom V.I.P.
Taeyang ataupun nama sebenarnya Dong Young-bae muncul di pentas Stadium Sarawak sekitar jam 11 malam dengan lagu pertamanya iaitu Vibe.
@tvstvmy Lagu Ringa Linga pukau peminat Taeyang di BSMF 2023. Layari https://staging.tvsarawak.my/news & tonton TVS Saluran 122 MYTV, Unifi TV dan Astro TVS122 TVSNews #TaeyangSarawakDebut #TAEYANG #TAEYANGatBSMF2023 #BSMF #BSMF23 #BorneoSonicMusicFestival
Pada sekitar 11.50 malam, Taeyang yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat lalu beredar ke belakang pentas telah membuatkan Stadium Sarawak bergema dengan laungan ‘Encore’.
Taeyang kemudiannya keluar lagi tampil ke atas pentas dengan membawa lagu Ringa Linga.
Selesai Ringa Linga, Taeyang merakam gambar kenangan bersama hadirin BSMF2023.
Sepanjang menghampiri sesi perpisahan itu, penonton tidak melepaskan peluang mengusik Taeyang dan melaungkan intro lagu Bang Bang Bang, lagu terkenal bandmate Taeyang sebelum ini, iaitu BigBang, yang turut disertai G-Dragon, T.O.P, Daesung dan Seungri.
Enggan membiarkan peminatnya merasa diabaikan, Taeyang menyanyikan sebaris rangkap lagu itu lalu terus bergerak beredar ke belakang pentas.
Suasana hari terakhir BSMF2023 tidak dinafikan begitu meriah sekali yang mana pihak penganjur juga telah mengagihkan ‘light-stick’ secara percuma bagi menyemarakkan lagi semangat penonton dan mewujudkan suasana lautan warna warni.
Turut memeriahkan hari terakhir muzik festival itu adalah SUHO dari kumpulan EXO.
Selain membawa lagu solonya, SUHO juga telah mengejutkan penonton dengan lagu-lagu terkenal dari kumpulan EXO iaitu Growl, Love Shot, Overdose dan Love Me Right.
Difahamkan, pada hari pertama BSMF2023 orang ramai yang hadir mencecah 15,000 manakala jumlah dijangka meningkat pada hari terakhir festival berkenaan.
Sepanjang tinjauan TVS, orang ramai telah mula berbaris seawal jam 2 petang dan barisan menunggu mencecah sehingga ke ruangan tempat letak kereta di stadium tersebut.
Turut hadir pada hari terakhir festival itu adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri, Datin Zuraini Abd Jabbar. – TVS