MIRI, 7 Okt: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu bekerjasama lebih rapat dengan industri untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan yang relevan dengan kehendak masa kini.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, hal ini bagi mempersiapkan pelajar untuk kemahiran pekerjaan yang mungkin diperlukan untuk pekerjaan pada masa akan datang.
“Kita kini hidup dalam dunia yang separuh daripada pekerjaan hari ini tidak wujud 25 tahun yang lalu dan universiti, dengan sendirinya, tidak dapat menyediakan pelajar sepenuhnya untuk pekerjaan yang belum wujud.
“Untuk merapatkan jurang kemahiran, IPT perlu bekerjasama lebih rapat dengan industri untuk menggalakkan penjajaran kemahiran pekerjaan, menggabungkan data pasaran buruh dengan input industri untuk menentukan kemahiran yang mungkin diperlukan untuk pekerjaan akan datang,” katanya.
Beliau mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn semasa Majlis Perasmian Sarawak Career and Training Fair (SCaT FAIR) 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Miri, hari ini.
Tambah beliau, kementeriannya menyasarkan untuk mencapai 30 peratus tenaga kerja mahir dengan melahirkan bakat tempatan yang mencukupi menjelang tahun 2030, dan setakat ini Sarawak mempunyai 20 peratus pekerja mahir terdiri daripada semua pemegang ijazah, diploma dan sijil dengan populasi tenaga kerja di Sarawak sebanyak 1.2 juta.
Beliau juga mengingatkan kepada para pencari kerja dan majikan bahawa proses mendapatkan pekerjaan merupakan dua hala dan kedua-duanya perlu melakukan usaha tersendiri dalam proses ini.
“Bagi pelajar yang akan menamatkan pengajian mereka, adalah penting untuk menyedari bahawa mendapatkan pekerjaan adalah proses dua hala.
“Pelajar dan pencari kerja, di satu pihak, perlu menjadikan diri mereka menarik kepada majikan manakala majikan, sebaliknya, perlu melakukan banyak usaha dalam memastikan mereka mendapat pelajar atau graduan yang terbaik,” tegasnya.
Program ini merupakan platform untuk pelajar, belia dan pencari kerja untuk mendapatkan maklumat pendidikan serta kerjaya selain meningkatkan kebolehpasaran belia dan memupuk minat dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah.
Antara pengisian program yang juga dijalankan selama dua hari dari 7 hingga 8 Oktober adalah pameran pendidikan, pameran kerjaya, Borneo Maker Festival, Talent Stage, STEM Playground, TVET Battlefield, Lucky Corner dan Planetrium Sultan Iskandar (PSI) Dome. – TVS