JINHUA (China), 7 Okt: Skuad sepak takraw lelaki negara gagal mempertahankan pingat emas acara antara regu di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas kecundang kepada Thailand 0-2 pada final di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua di sini, hari ini.
Walaupun membawa pulang perak, regu negara telah menampilkan semangat juang tinggi bagi menyaingi kehebatan pihak lawan terutama pada set kedua, namun tuah lebih berpihak Thailand yang dinobatkan sebagai juara selepas merakam kemenangan 21-15, 21-19.
Pada set pertama, trio negara Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican bermula baik apabila berjaya mengikat kedudukan 11-11 sebelum Thailand yang dibarisi Pansan Pichet, Yupadee Pattarapong dan Khamchan Sittipong mula melebarkan jurang mata.
Ketinggalan 11-14, ketua jurulatih negara Ahmad Jais Baharun membawa masuk tekong Mohammad Syahir Mohd Rosdi menggantikan Muhammad Zarif dalam usaha mengubah perlawanan, namun percaturan itu gagal memberi kesan dan Thailand meraih kemenangan di set pertama.
Pada set kedua, perlawanan berlangsung sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berkejar mata demi mata dengan Malaysia mengikat kedudukan sebanyak empat kali, selain terus membuat penggiliran tekong sementara Thailand kekal dengan trio yang sama.
Malaysia dan Thailand terikat sebanyak tujuh kali sepanjang set kedua antaranya pada kedudukan 10-10, 16-16, 17-17 dan 18-18, namun pengalaman dan ketenangan menjadi pemisah kedua-dua pasukan yang menyaksikan pihak lawan menoktahkan kejayaan 21-19 untuk mengesahkan emas.
Bercakap kepada pemberita selepas final itu, Ahmad Jais berkata anak buahnya telah berusaha sebaik mungkin untuk menyaingi Thailand yang sememangnya memiliki kelebihan dari aspek serangan dan pertahanan.
Katanya beberapa kontroversi melibatkan keputusan pengadil dalam perlawanan itu juga memberi impak terhadap fokus para pemain.
“Walaupun kita ketinggalan pada set pertama dan gagal menyaingi mereka, namun pada set kedua kita mula bangkit dari segi pertahanan dan serangan, namun beberapa kontroversi sedikit sebanyak melemahkan momentum pasukan, itu yang buat kita kecewa pada set kedua,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Syahir berkata beliau dan rakan sepasukan sudah memberikan segalanya di gelanggang untuk cuba membawa pulang emas.
“Kami semua tahu memang Thailand banyak kelebihan dan satu pasukan yang kuat tetapi kami memang perah habis-habisan kali ini dan semangat kami tidak pernah luntur pada Sukan Asia kali ini.
“Di final ini memang kami berjuang bersungguh-sungguh tetapi nasib tidak menyebelahi kami untuk dapatkan emas,” kata pemain berusia 27 tahun itu.
Kejayaan itu menyaksikan Thailand kembali merampas emas yang dimenangi kali terakhir pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Dalam pada itu, pingat gangsa acara itu dimenangi bersama Filipina dan Vietnam selepas masing-masing tersingkir di peringkat separuh akhir, semalam. -TVS