KUCHING, 6 Okt: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mencatatkan kejayaan manis apabila meraih kontrak ONE Championship bernilai USD 100,000 (RM460,000).
Johan atau lebih dikenali dengan panggilan Jojo menumbangkan lawannya dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev di Stadium Lumpinee Boxing, Bangkok, malam ini.
Anak muda berusia 16 tahun itu dari Rentap Muay Thai Gym, di sini, merupakan peninju termuda berjaya meraih kontrak berprestij itu.
Jojo yang menumbangkan lawan dengan pukulan ‘knockout’ (KO) turut memenangi hadiah 350,000 baht (kira-kira RM44,000).
Ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut dalam ONE Championship.
Perlawanan itu disiarkan secara langsung menerusi laman sosial penganjur.
Susulan kemenangan itu, ruangan Facebook Rentap Muay Thai Gym dipenuhi dengan ucapan tahniah kepada jaguh muda itu.
Facebook Muay Thai Malaysia berkata, Jojo dan Rentap Muay Thai telah membawa nama Malaysia ke seluruh dunia melalui media sosial yang ditonton lebih 190 negara.
“Juara negeri, kebangsaan, SUKMA, Remaja Dunia Ifma dan atlet negara paling berjaya setakat ini di arena profesional Muay Thai antarabangsa,” katanya. – TVS