Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meninjau keadaan projek rintis benih padi hibrid di Lubok Punggor, Gedong baru - baru ini. Foto: Fiqri Razak

Sarawak bergelar negeri jelapang padi menjelang 2030 – Abang Johari

ByLuqman Muhammad

GEDONG, 6 SEP: Sarawak bakal menjadi negeri jelapang padi menjelang 2030 selepas projek rintis penanaman benih hibrid di kawasan Lubok Punggor di sini membuahkan hasil.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak telah mengenal pasti beberapa kawasan yang mempunyai keluasan lebih 10,000 hektar bagi meningkatkan pengeluaran padi sekali gus memastikan keterjaminan makanan rakyat di negeri ini.

Menurut Abang Johari, Lubok Punggor, Gedong sahaja mempunyai keluasan tanah milik kerajaan lebih daripada 700,000 hektar.

Antara kawasan lain yang turut dikenal pasti menurut Abang Johari, bagi tujuan sama ialah Tanjung Bijat Di Sri Aman, Spaoh di Betong dan Tanjung Burung di Lundu.

“Apa yang berlaku sekarang ialah kita telah menggunakan benih spesis hibrid ini di kawasan plot di Lubok Punggor, dan dalam masa tiga bulan kita telah mendapat hasil yang positif meskipun ditanam ketika musim kemarau (bukan musim menanam padi).

“Kalau kita tanam benih hibrid ini ia dapat mengeluarkan lapan hingga 10 tan dalam keluasan tanah satu hektar, kebiasaannya kita hanya dapat mengeluarkan tiga hingga lima tan sahaja untuk keluasan sedemikian”. katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Lubok Punggor di sini, pada Jumaat.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Gedong berkata sekiranya penanaman benih hibrid ini dapat mengeluarkan 200,000 tan setahun dengan keluasan 10,000 hektar, Sarawak dapat mencapai 80 peratus tahap sara diri.

“Bermakna kalau kita menggunakan spesis benih ini lebih dari 10,000 hektar, Kita mungkin akan mempunyai lebihan, tetapi kita tidak memikirkan perkara tersebut, apa yang penting kerajaan Sarawak dapat menjaga ‘perut’ rakyat di negeri ini, di mana kerajaan dapat menyediakan beras yang mencukupi dengan harga yang berpatutan.

“Dan kalau kita tambah lagi kawasan tanah kita mungkin kita boleh jadi pengeksport beras,” ujarnya.

Abang Johari dalam pada itu mendedahkan Kerajaan Sarawak akan mengadakan perundingan bersama Kerajaan Persekutuan berhubung usaha berkenaan memandangkan ia memerlukan kos yang tinggi terutamanya melibatkan sistem pengairan dan saliran.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan