KUCHING, 6 Okt: Bermula dengan menjadikan dekorasi dalaman rumah sebagai hobi, siapa sangka ia berkembang menjadi perniagaan yang menguntungkan bagi anak jati Sarawak ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Decokacak Hyfa, Mohd Fairulrozaimi dan Founder Decokacak Hyfa, Nur Haslina mengakui tidak pernah menyesal terjun dalam bidang ini biarpun terpaksa berkorban kerjaya sebagai penjawat awam.
Terbaharu, pasangan suami isteri ini berjaya melebarkan perniagaan mereka ke Brunei.
“Bak kata orang, kalau sudah rezeki tidak ke mana. Malah suami saya pandai bertukang, jadi kami buat bisnes dengan bersungguh-sungguh.
“Saya akan mencari idea untuk reka bentuk dan apabila kami bergabung, Alhamdullilah bisnes menjadi,” katanya kepada TVS baru-baru ini.
Mohd Fairulrozaimi berkata, selain pasaran Brunei mereka juga berjaya masuk ke pasaran di Semenanjung Malaysia.
“Kami juga tawarkan perkhidmatan kepada rumah panjang di Sarawak,” katanya.
Tambahnya, pada bulan ini mereka sudah menyiapkan dekorasi untuk 15 rumah pelanggan yang inginkan perkhidmatan mereka.
Ditanya waktu paling sibuk, mereka memberitahu, pada kebiasaannya bulan puasa mereka menerima tempahan untuk menghias 50 rumah.
“Kami boleh siapkan (dekorasi) dalam sehari dua rumah,” kata Haslina.
Jelas Haslina, Decokacak berpusat di Kuching dan mempunyai cawangan di Miri dengan menyediakan perkhidmatan dekorasi rumah, membekalkan produk hiasan dalaman rumah dan lain-lain.
Selain daripada itu, Decokacak juga membuat promosi Rahmah sebagai usaha bagi menyokong saranan kerajaan untuk membantu golongan yang mengimpikan rumah idaman pada harga mampu milik.
“Sebab itulah, kami memilih moto ‘rumah kacak ati senang’.
“Ada pelanggan mahu rumah mereka mempunyai dekorasi cantik namun berdepan kekangan bajet, oleh itu kami tawarkan promosi Rahmah, bergantung kepada rekaan dan keluasan,” katanya.
Sementara itu, bagi Fairulrozaimi, matlamat mereka juga bukan sekadar tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi, justeru pelbagai lapisan masyarakat boleh mendapatkan perkhidmatan daripada mereka.
“Tidak semestinya rumah baharu atau orang kaya sahaja. Apabila balik ke rumah, kita mahu hati tenang,” katanya.
Bagi Fairulrozaimi, walaupun berjaya menjana pendapatan dalam bidang perniagaan namun tuntutan sebagai orang Islam tidak pernah dilupakan.
“Decokacak juga turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (SCR) dengan memberi perkhidmatan kami kepada rumah kebajikan dan rumah anak yatim sebagai usaha untuk menyumbang kembali kepada komuniti dan berkongsi rezeki,” katanya. – TVS