Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika menjadi tetamu Dialog TVS bertajuk Belia, Sukan di bawah Malaysia Madani pada Khamis. Foto TVS.

Insentif cukai mampu tarik penglibatan swasta dalam sukan – Hannah Yeoh

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 6 Okt: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu menjalinkan kerjasama lebih erat dengan pihak swasta bagi memajukan bidang sukan negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, antara yang boleh dilaksanakan untuk merealisasikan perkara itu ialah dengan menerusi tawaran insentif cukai yang menarik kepada pihak swasta dalam Belanjawan 2024.

Ujarnya, insentif berkenaan penting agar ekosistem sukan di negara ini dapat dibangunkan secara bersama.

“Jika mahu pihak swasta terlibat membuat pelaburan dan tajaan sukan, kita kena pastikan insentif cukai yang menarik untuk mereka.

“Kita (KBS) sudah bercakap dengan penaja untuk mendapatkan maklum balas mengenai apa lagi insentif cukai yang kita boleh beri supaya mereka ingin melabur dalam sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan bual bicara Dialog TVS  Belia, Sukan di bawah Malaysia Madani pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, bagi membangunkan ekosistem sukan, faktor bilangan tenaga pengajar juga harus mencukupi untuk menarik minat pelabur.

“Selain itu kita perlu mewujudkan kelas (berkaitan sukan) untuk kanak-kanak bagi memupuk minat mereka,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Persekutuan melaksanakan perlepasan cukai yang lebih besar supaya ibu bapa akan berbelanja untuk peralatan sukan serta latihan.

Memberikan contoh, Hannah berkata, insentif cukai yang diberikan terhadap ibu bapa yang menyediakan jurulatih renang untuk anak mereka akan membantu perkembangan sukan berkenaan.

“Jika setiap ibu bapa mempunyai pemikiran itu, mereka akan melabur dan ini seterusnya menyumbang peningkatan lebih banyak pelajar untuk sukan itu malah akan mewujudkan lebih banyak kelab renang,” katanya.

Ditanya sama ada pelepasan cukai merupakan misi baharu KBS, Hannah berkata, beliau akan mengkaji dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini sama ada perlu ditukar atau sebaliknya dalam usaha menyediakan program yang lebih bagus untuk belia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan