KUCHING, 5 Okt: Huawei komited untuk menyokong perjalanan pendigitalan Sarawak melalui kerjasama dalam pembinaan infrastruktur digital bagi meluaskan liputan ketersambungan terutama di kawasan luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata sokongan itu dibuktikan melalui kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak ( SDEC) membabitkan pemasangan tapak komunikasi bagi menambah baik liputan Internet negeri tersebut.
Sebanyak 600 tapak komunikasi dijangka dibina menjelang tahun depan di bawah inisiatif Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) Lembaga Multimedia Sarawak.
“Setakat ini, kami telah berjaya membina 427 tapak dan penghunung tahun ini, kami menyasarkan 550 akan siap.
“Ini adalah komitmen kami dan kami akan mempercepatkan pemasangan tapak ini. Ianya adalah inisiatif kami untuk menyambungkan mereka yang tidak berhubung,” katanya kepada Bernama semasa di Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia ke-27 serta Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT|IDECS) Keenam 2023 semalam.
Acara tiga hari itu yang bermula di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) hari ini menyaksikan lebih 10,000 hadirin dari 46 negara.
Acara itu menjadi platform untuk para peserta berbincang, bertukar-tukar pengetahuan termasuk pandangan selain mewujudkan laluan ke hadapan yang jelas dalam memacu inovasi, teknologi dan ekosistem serta komuniti perniagaan yang berteraskan kemampanan, di tengah-tengah cabaran abad ke-21 yang semakin bertambah hari ini.
Untuk memastikan kejayaan projek itu dan menyokong serta memberi perkhidmatan kepada kerajaan negeri dengan lebih baik, Huawei Malaysia telah menubuhkan Pejabat Huawei Timur di Kuching, kata Sun, sambil menambah ia dioperasikan oleh 90 peratus warga tempatan dan ia akan bekerjasama dengan rakan industri.
“Huawei mahu menyediakan pemindahan pengetahuan dan peningkatan kemahiran untuk meningkatkan ekosistem tempatan,” katanya.
Selain membantu Sarawak dalam perjalanan pendigitalannya, Huawei juga bersedia menyokong transformasi digital Malaysia, kata Sun.
Huawei mempunyai banyak pengelaman di Malaysia seperti membina kesalinghubungannya dengan infrastruktur digital serta membangunkan penyelesaian industri digital, katanya.
“Kami melihat Malaysia sebagai rakan kongsi yang penting. Itulah sebabnya kami mendirikan ibu pejabat wilayah kami di sini. Huawei mula beroperasi di Malaysia pada 2001 dan kami berbangga kerana telah berkhidmat kepada lebih 80 peratus penduduk sejak era telekomunikasi 2G.
“Di sini, kami menjalinkan usaha sama dengan universiti, kerajaan dan rakan kongsi industri selain membawa penyelesaian industri, termasuk penyelesaian ‘bilik darjah pintar’, ‘lebuh raya pintar’ dan ‘lapangan terbang pintar’ kepada Malaysia,” tambahnya.-TVS