KUCHING, 4 Okt: Pemimpin syarikat dinasihatkan supaya meneroka serta mengaplikasi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam organisasi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Tomorrow, Mike Walsh berkata, walaupun penggunaan AI semakin berkembang namun masih terdapat keraguan dalam kalangan peneraju organisasi mengenai teknologi baharu itu.
Kata Walsh, AI perlu difahami dalam konteks yang lebih meluas dan bukan sekadar Chatbots semata – mata.
“Chatbots hanya aplikasi kecil sahaja. Oleh itu, kita perlu membangunkan teknologi baharu yang radikal untuk memberi pengalaman berbeza kepada pelanggan.
“Mungkin pada mulanya agak susah (untuk membangunkan teknologi) bagi sesebuah syarikat namun perlu diingat bahawa syarikat tidak seharusnya menjadi penerima teknologi semata – mata tetapi juga perlu membangunkan teknologi masing – masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS ketika menghadiri Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) di sini, hari ini.
Sementara itu, Walsh turut berkongsi perkara yang menjadi kebimbangan bagi sesetengah organisasi untuk menerima AI.
“Ini berkait kesan kepada kebergantungan kepada tenaga kerja manusia dan bagaimana pembangunan produk baharu dapat dilaksanakan.
“Ketua-ketua syarikat selalu bertanya bagaimana AI akan mengurangkan kos mereka sebanyak 10 hingga 15 peratus dan apakah kesannya sekiranya kita mengurangkan pekerja.
“Secara amnya, matlamat pembangunan teknologi adalah bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan yang memberi kesan kepada seluruh sistem organisasi,” katanya.
Resolusi dan cadangan WCIT | IDECS 2023 dipertimbangkan
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Sarawak berpotensi untuk membangun dengan lebih pesat dalam bidang teknologi dan digital menerusi kepelbagaian sumber yang ada.
“Sarawak memiliki banyak sumber termasuk modal insan yang boleh diasah.
“Jika ini dimanfaatkan sepenuhnya terutamanya dalam transformasi pendidikan dan kepenggunaan, saya percaya ia akan membawa perubahan yang radikal membabitkan kerjasama kerajaan dan swasta,” tambahnya. -TVS