Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis perasmian WCIT | IDECS di Kuching, hari ini. Foto: TVS

Penganjuran WCIT | IDECS dijangka bawa pulangan RM660 juta

ByMuqri Aziz

KUCHING, 4 Okt: Penganjuran Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) dijangka membawa pulangan RM660 juta dalam bidang teknologi dan ekosistem syarikat baharu Sarawak.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, jumlah itu disumbang menerusi pelaburan langsung asing (FDI); mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE); pelancongan dan penajaan.

“Sebagai hos WCIT | IDECS 2023, kami memberi komitmen yang tinggi dalam memajukan visi Sarawak menjadi kuasa ekonomi digital dalam negara serta rantau.

“Sarawak merupakan destinasi pelaburan, perniagaan dan pelancongan yang menarik. Kami berusaha untuk menjadi hab pilihan pelabur yang mahu menggabungkan perniagaan mereka secara santai dengan matlamat utama untuk memartabatkan sosioekonomi rakyat,” katanya berucap merasmikan WCIT | IDECS di sini, hari ini.

Abang Johari berkata lagi,  pemilihan Sarawak adalah satu langkah tepat kerana Bank Dunia baru-baru ini telah mengiktiraf Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi dengan pendapatan diterima sebanyak RM11.96 bilion pada 2022.

Dalam pada itu, beliau juga mahu penyertaan wanita lebih ramai dalam bidang teknologi.

“Terdapat banyak cara wanita boleh menyumbang ke arah pembangunan digital di Sarawak memandangkan banyak kemudahan disediakan untuk menjalankan perniagaan mereka dan perlu diterokai dengan lebih mendalam.

“Kerajaan Sarawak komited dalam mencapai matlamat ke arah ekonomi digital dan transformasi digital sangat penting untuk masa depan rakyat Sarawak. Saya memberi jaminan untuk kekal komited dalam merealisasikan masa depan yang makmur dan mampan serta inklusif,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan