KUCHING, 4 Okt: Selepas lebih tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, Sarawak Career and Training (SCaT) Fair kembali dianjurkan tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee In berkata, SCaT Fair 2023 akan berlangsung di tiga zon iaitu Miri, Sibu dan Kuching.
Kata beliau, karnival berkenaan akan memberi tumpuan kepada tawaran peluang pekerjaan, pengajian tinggi dan pembiayaan pendidikan daripada pelbagai agensi terlibat.
“SCaT Fair di Miri akan diadakan pada 7 hingga 8 Oktober manakala bagi Sibu pula bermula 25 hingga 26 November depan.
“Tarikh penganjuran di Kuching akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Berhubung penganjuran di tiga zon berbeza, Roland Sagah berkata, ia bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai belia dan pencari kerja hadir acara berkenaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 60 pempamer terdiri daripada syarikat swasta, institusi pendidikan tinggi serta agensi kerajaan mengesahkan penyertaan pada SCaT.
“SCaT Fair tahun ini menyediakan lebih seribu peluang pekerjaan.
“Kita mensasarkan kehadiran seramai 7,000 pengunjung pada setiap zon selain 10,000 yang mengikuti acara berkenaan secara dalam talian,” katanya. -TVS