ROME, 4 Okt: Sekurang-kurangnya 21 orang maut selepas sebuah bas terjunam dari jejantas Vempa di Venice lalu terbakar di landasan kereta api pada Selasa, lapor media tempatan.
Sekurang-kurangnya dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal manakala beberapa lagi cedera parah.
Beberapa lagi mangsa masih hilang dan angka kematian dijangka meningkat, lapor Xinhua.
Media tempatan melaporkan bahawa bas malang itu terjunam kira-kira 10 meter ke kawasan lapang berhampiran beberapa landasan kereta api.
Bas itu dilaporkan terbakar selepas terjunam.
Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni menyampaikan ucapan takziah sambil berkata beliau mengikuti perkembangan insiden dengan teliti.
Jejantas Vempa telah ditutup kepada lalu lintas, dan polis serta bomba berada di tempat kejadian untuk mencari mangsa yang terselamat, membantu mangsa dan menilai keadaan. – TVS