KUCHING: Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.
Secara semulajadinya seorang bapa memang dikenali dengan sifat dan identitinya yang tegas.
Lebih banyak berdiam, dan jarang memujuk.
Namun, itu tidak bermakna mereka tidak peduli, jauh sekali tidak mempunyai perasaan sayang terhadap anak-anak.
Walaupun sudah lama kehilangan seorang insan yang bergelar ayah, Nurul Nabilah Jamali sentiasa mengingati setiap kenangan bersama ayahnya.
Kehilangan ayahnya tatkala berusia 17 tahun amat memberi kesan kepadanya, kerana pada usia tersebut Nabilah masih lagi haus akan kasih sayang seorang ayah dan memerlukan tempat bergantung serta bermanja.
Menurut Nabilah, jika diberi peluang bertemu semula dengan ayahnya, sudah pasti beliau akan menikmati dan lebih menghargai masa bersama.
Manakala menurut Muhammad Muazzin pula, perasaan rindu pada ayahnya semakin menebal kerana sudah lama tidak bersua akibat pandemik.
Apa yang dapat dilakukan adalah dengan menghargai setiap pengorbanan dan keringat seorang ayah.
Dalam pada itu, Muazzin turut berharap supaya ayahnya kekal sihat dan terus tabah menjalankan tugas sebagai petugas barisan hadapan.
“Saya harap supaya ayah kekal sihat dan terus tabah jangan putus asa dan semoga dia tidak penat sebab dia bekerja sebagai petugas barisan hadapan.”
Pengorbanan seorang ayah semestinya memberi kesan yang mendalam untuk setiap anak.
Sebagai ketua keluarga, terlalu banyak pengorbanan mereka yang mungkin kita tidak sedari selama ini, termasuklah perasaannya.
Sempena hari bapa yang diraikan hari ini, pelajar perubatan unimas, Muhammad Hakeem Nazri, Muhammad Nadzirul Syafiq dan Nur Amirah Zulkarnain Tan turut tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat hari bapa kepada bapa mereka dan mengucapkan terima kasih di atas segala pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang membesarkan mereka.
“Untuk sempena hari bapa ni, bapa saya yang berada di Johor sekarang ni, En Nazri bin Abdul Wahab saya ingin mengucapkan selamat hari bapa dan saya harap ayah sihatlah kat sana, jaga diri ”
“Selamat hari bapa terutama kepada ayah saya iaitu Adruce bin Mulkam sebab menjadi seorang bapa yang baik dan pengorbannya membesarkan saya sampai sekarang memang takkan saya lupakan. ”
“Daddy, selamat hari bapa, terima kasih kerana membesarkan saya selama ini”