HANGZHOU, 3 Okt: Kuartet 4×100 meter (m) wanita negara seakan tidak percaya apabila dinobatkan sebagai pemenang pingat gangsa Sukan Asia di Stadium Olimpik Hangzhou di sini, malam ini.
Menceritakan detik selepas perlumbaan, pelari pecut senior Zaidatul Husniah Zulkifli berkata pada mulanya mereka pelik apabila keputusan rasmi mengambil masa yang agak lama untuk dikeluarkan.
Katanya keadaan dan perasan menjadi lebih bercampur baur apabila pelari Bahrain datang mengucapkan tahniah kepada mereka.
“Sewaktu di bilik panggilan tempat kami simpan bag, agak terkejut kenapa keputusan belum keluar. Ia jadi lebih pelik apabila kami ditahan lama dalam bilik tu, rupa-rupanya ada pertukaran.
Selepas itu atlet Bahrain masuk, datang ke arah kami dan ucap tahniah, kami sangat terkejut waktu itu dan pada masa sama sangat gembira kerana ia tak dijangka pun,” katanya ketika ditemui di sini malam ini.
Malaysia dihadiahkan gangsa selepas penyertaan kuartet Bahrain dibatalkan selepas salah seorang pelari negara itu didapati melakukan kesalahan TR24.7 iaitu membuat lepasan baton di luar zon pertukaran, menurut keputusan rasmi yang dikeluarkan.
Terdahulu gandingan Azreen Nabila Alias, Zaidatul, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy menampilkan larian bertenaga untuk mencatat masa 45.01 saat (s) sekali gus menamatkan saingan di tempat keempat. -TVS