KUCHING, 3 Okt: Sarawak dipilih sebagai lokasi pertama di Malaysia untuk menganjurkan Kongres Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (FAVA) Ke-22 dan Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) Ke-33 (FAVA 2023).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, seramai 800 peserta dijangka hadir pada kongres itu yang akan bermula pada 3 hingga 5 November depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Kata beliau, setakat ini pihaknya telah menerima 600 pendaftaran peserta dari 12 negara yang mengesahkan kehadiran.
“Kongres ini menawarkan pelbagai program seperti bengkel pra-kongres dan kelas induk mengenai pelbagai aspek sains veterinar, perubatan serta pembedahan termasuk ‘One Health’.
“Kita juga akan mendengar ceramah yang akan disampaikan oleh penceramah terkenal dari seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam kongres tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran FAVA 2023 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Tetap MFICORD, Sirai Daha dan Pengerusi Penganjur Kongres FAVA 2023, Profesor Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.
Menurut Stephen Rundi, kongres itu yang dianjurkan oleh FAVA dan MAVMA dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak serta Persatuan Veterinar Sarawak (SVA) bertemakan ‘Asia Bersatu untuk Kesihatan dan Kebajikan Haiwan’.
“Pada hari pertama kongres, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dijangka hadir merasmikannya,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata, Sarawak berbesar hati menjadi tuan rumah bagi kongres antarabangsa itu.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat boleh melayari laman sesawang www.fava2023.com. -TVS