KUCHING, 3 Oktober: Syarikat teknologi pendidikan, Enuma Inc yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat sedia bekerjasama dengan Sarawak untuk memperluaskan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat prasekolah.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Soo In Lee berkata pihaknya kini bekerjasama dengan Yayasan Hassanah untuk melakukan program pendidikan tersebut di 10 hingga 15 institusi pendidikan awal kanak-kanak.
“Kita mungkin boleh memperluaskan pendekatan pendidikan (STEM) ini di peringkat prasekolah kerana kita mempunyai peranti khas dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digunakan di peringkat prasekolah.
“Ia akan banyak memberi manfaat kepada kanak-kanak di prasekolah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Dalam pertemuan itu, In Lee berkata pihaknya berkongsi perkembangan terkini mengenai peranti digital AI yang digunakan oleh syarikatnya untuk meningkatkan minat pelajar untuk mempelajari Bahasa Inggeris dan STEM.
Malah Enuma Inc turut bercadang untuk mengembangkan penggunaan sistem tersebut di institusi pendidikan awal kanak-kanak sebagai persiapan awal untuk menguasai bidang berkenaan. – TVS