Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Penerima Vaksin Bersyukur Keinginan Dipenuhi

ByEekbal Yusuf

MIRI: Penerima vaksin, Norlia Bujang, 55, bersyukur kerana keinginan dirinya untuk divaksin sudah dipenuhi ketika menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Eastwood Valley, di sini, pada Ahad dan mengumpamakan ia seperti ‘dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’ yang bermaksud yang diinginkan, sudah diperoleh.

Norlia yang tiba seawal pukul 8.30 pagi di PPV menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada petugas kesihatan, pihak keselamatan serta para sukarelawan yang bertugas kerana banyak membantu melancarkan proses vaksinasi.

Norlia Bujang

Norlia, yang menetap di Taman Bumiko mengakui sedikit gemuruh apabila tiba giliran disuntik namun beliau kembali tenang apabila diyakinkan oleh petugas kesihatan.

Kata Norlia, beliau sudah ke PPV 2 hari yang sebelum hari dirinya divaksin kerana telah mengiringi ibunya yang berusia 80 tahun terlebih dahulu untuk menerima suntikan.

“Harapan saya supaya usaha kerajaan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat melandaikan jangkitan di seluruh negara amnya seterusnya mencapai sasaran 80% imuniti berkelompok di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, penjaja di Tamu Pujut Corner, Norhayati Abdullah, 56, yang menghadiri temujanji vaksin hari ini dengan ditemani anaknya mengambil sikap bertenang ketika disuntik serta menjelaskan tidak mengalami sebarang kesan sampingan ketika berada di ruang pemantauan.

“Prosedur vaksinasi amat lancar, bermula dari proses pendaftaran sehingga selesai tidak lebih satu jam termasuk di ruang pemantauan sekitar 15 minit yang mana saya telah datang pada jam 9.10 pagi ketika di kaunter pendaftaran, kemudian jam 10.00 pagi sudah selesai dan dibenarkan pulang,” katanya.

Norhayati Abdullah

Sebelum beredar, Norhayati mengingatkan orang ramai agar jangan mudah percaya dengan berita yang tidak sahih mengenai vaksin ataupun menyebarkannya tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Menurut Penyelaras di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Eastwood Valley Dr. Diana Yeo Ing Tieng pula, seramai 1,506 penerima dijadualkan mengambil vaksin pada hari ini serta menyatakan pihaknya menyasarkan secara purata kira-kira 2,500 dos vaksin kepada penerima setiap hari setelah kapasiti PPV ditingkatkan. 

Sasaran tersebut jelasnya selari dengan saranan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Datuk Lee Kim Shin dalam satu pertemuan ketika lawatan beliau ke PPV Eastwood Valley baru-baru ini.

“Nasihat saya kepada penduduk Miri yang telah mendaftar untuk menerima vaksin, hadir ke PPV mengikut tarikh yang ditetapkan dan bawa buku rekod sejarah kesihatan.

“Namun, jika tidak sihat seperti mengalami demam atau individu yang masih menjalani kuarantin jangan datang dahulu ke PPV untuk menerima vaksin,” tambahnya.

Beliau amat berharap lebih ramai individu menyertai sukarelawan untuk membantu di PPV.

Selain itu, beliau memohon lebih banyak sumber seperti peralatan dan kelengkapan disalurkan ke PPV bagi menjayakan program imunisasi di Miri.

Kata Dr. Diana lagi, jika ada individu yang ingin menukar pusat pemberian vaksin atas sebab yang tidak dapat dielakkan atau sekiranya terdapat pemohon yang masih belum mendapat notifikasi janji temu vaksin sila hubungi OPS ROOM VAKSIN BAHAGIAN MIRI di talian 085-322301 atau boleh juga berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan menghantar mesej ke nombor telefon 011-59284348 / 011-59424290.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan