Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian SK Maludam di Betong, hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

Abang Johari minta Kementerian Pendidikan ikut standard Sarawak bina sekolah baharu

ByHafeezzur Muzamir

BETONG, 2 Okt: Kerajaan Sarawak meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencontohi dan mengikut standard pembinaan projek sekolah baharu seperti yang dilakukan negeri ini.

Mengambil contoh pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Persekutuan wajar menjadikannya sebagai penanda aras dalam menyediakan kemudahan sempurna.

KPM disaran ikut standard Sarawak bina sekolah baharu.

“Saya minta Kerajaan Pusat untuk sekurang-kurangnya menjadikan sekolah ini (SK Maludam) sebagai standard pembinaan sekolah baharu di Sarawak.

“Fasiliti untuk pelajar, guru, kuarters dan ruang makannya perlu seperti SK Maludam yang menelan belanja RM34 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SK Maludam, Betong di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Mohamad Razi Sitam.

Jelas beliau, sekiranya fasiliti sekolah tidak memuaskan, ia bukan sahaja tidak memberikan keselesaan kepada pelajar, malah ia turut melunturkan semangat guru baharu yang ditempatkan di Sarawak.

Abang Johari menambah, beliau telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sewaktu diberi ruang oleh Perdana Menteri untuk memberikan taklimat selama 30 minit kepada Menteri Persekutuan tempoh hari.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu fasiliti sekolah merupakan antara sebab mengapa beliau meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan autonomi pendidikan kepada Sarawak.

“Saya minta kepada Perdana Menteri kalau boleh beri autonomi kepada Sarawak, kita laksana projek dan juga pembangunan pendidikan kita. Kerana di sana dasarnya sering bertukar. Kita nak dasar kita konsisten dan kita bagi infrastruktur yang baik,” tegasnya.

Bangunan baharu SK Maludam dijadualkan mula digunakan pada sesi persekolahan 2023/2024. Ia merupakan projek dibiayai di bawah peruntukan khas Kerajaan Sarawak bagi menggantikan bangunan sekolah lama yang sudah daif.

Sekolah itu dilengkapi dengan 18 bilik darjah dan dua blok asrama yang mampu menampung murid seramai 200 murid. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan