BALING, 2 Okt: Seorang lelaki warga emas ditemui maut di dalam rumahnya dipercayai selepas disamun dua lelaki di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini, semalam.
Mangsa berusia 71 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis pada kira-kira 3 petang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa ditemui dalam keadaan diikat pada kaki dan tangan selain lehernya dijerut.
Katanya, siasatan polis mendapati tiada kesan pecah masuk dalam kejadian di rumah teres setingkat dan berpagar tersebut.
“Si mati yang tinggal bersendirian selepas kematian isterinya lapan tahun lalu itu ditemui di atas katil di dalam bilik utama.
“Barang yang hilang di tempat kejadian merupakan seutas rantai emas dan sebentuk cincin yang dipakai (mangsa) serta dompet miliknya telah tiada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Shamsudin menambah, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa mendapati dua lelaki dilihat keluar dari rumah berkenaan.
“Mereka menaiki motosikal berwarna gelap. Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disyaki bermotifkan samun,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi urusan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di talian 04-4708222 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Tan See Yean di talian 019-6687687 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – TVS