JULAU, 2 Okt: Mangsa terakhir tragedi Sungai Kanowit dijumpai lemas oleh penduduk kampung yang meneruskan operasi pencarian selepas beberapa jam penemuan jasad rakannya di Nanga Meluan, semalam.
Jasad Ferdinand Raymond Jiram, 16, ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada 10.30 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa pertama, Abdul Rezan Abdul Jalil, 15, dijumpai pada 5.47 petang hasil pencarian dibantu penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 11.58 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, saksi kejadian iaitu bapa seorang mangsa membuat laporan di Balai Polis Julau sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pihak bomba.
Susulan itu, sepasukan anggota dari BBP Bintangor bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan kira-kira 3.30 petang.
“Kedua-dua remaja ini dipercayai sedang mandi-manda, kejadian berlaku apabila salah seorang cuba menyeberangi sungai tetapi gagal.
“Rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun tidak berjaya sehingga mengakibatkan kedua-duanya hanyut dibawa arus sungai,” katanya. – TVS