KUCHING, 1 Okt: Sarawak wajar diberi peruntukan setanding Semenanjung Malaysia dalam Belanjawan 2024, kata Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Beliau yang Timbalan Premier Sarawak berkata, ini kerana Sarawak perlu melaksanakan pembangunan yang lebih mampan pada masa hadapan.
Jelasnya, Sarawak layak untuk mempunyai belanjawan yang setaraf agar kemudahan fasiliti seperti sekolah, hospital dan kesihatan awam dapat ditambah baik untuk rakyat.
“Bukan kerana kita tamak (memohon peruntukan setanding dengan Semenanjung Malaysia) namun selepas 60 tahun di (membentuk) Malaysia, kita layak untuk mempunyai kemudahan yang sama seperti sekolah, hospital dan kesihatan awam (sama seperti di Semenanjung Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Futsal Remaja Sakkok 2023 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Senator Dewan Negara, Senator Datuk Ahmad Ibrahim dan Pengerusi Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Wynson Ong.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain pembangunan, aspek kesihatan rakyat sangat penting dalam Belanjawan 2024 supaya Sarawak boleh membuat persediaan menjadi negeri tua.
“Kita perlu perlahan-lahan meningkatkan bajet dan berharap dalam kertas putih sekurang-kurangnya lima peratus, supaya kita boleh membuat persediaan,” katanya. – TVS