KUCHING, 1 Okt: Usahawan disaran supaya mentransformasi perniagaan kepada pendigitalan agar dapat memanfaatkan perkembangan teknologi terkini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pengawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Muhd Firdaus Azharuddin berkata, bagi membantu usahawan beralih ke arah pendigitalan, program-program latihan yang ditawarkan INSKEN berfokus kepada aspek pendigitalan operasi peniagaan.
Katanya, sekiranya usahawan tidak mendigitalkan perniagaan, mereka tidak boleh merebut peluang perkembangan teknologi termasuk penggunaan AI, gerbang pembayaran digital dan sebagainya.
“Jadi kita melihat penting untuk usahawan mendigitalkan perniagaan terutama aspek pengurusan, itu menjadi fokus kita sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada majlis perasmian Kampus INSKEN cawangan Sarawak di Sarawak Plaza di sini hari ini.
KUSKOP harap peruntukan lebih tinggi Belanjawan 2024, perkasa PKS dan koperasi
Yang turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Ini merupakan kampus ketiga INSKEN selepas kampus utama di Cyberjaya, Selangor dan kampus cawangan Sabah di Kota Kinabalu.
Sementara itu Firdaus berkata, sehingga kini, INSKEN telah membantu seramai 2,784 usahawan di Sarawak menerusi 63 program latihan dan bimbingan sejak 2020.
Katanya, situasi itu didorong oleh penularan pandemik COVOD-19 yang memaksa ramai usahawan mengoperasikan perniagaan mereka secara dalam talian. -TVS