KUCHING, 1 Okt: SME Corp Malaysia (SME Corp) menyediakan geran khusus untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sabah dan Sarawak berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, usaha agensi berkenaan membantu perkembangan PKS di Wilayah Borneo ini dapat dilihat menerusi program Bumiputera Enterprise Enhancement (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak.
“Ini merupakan geran yang diberikan khusus kepada usahawan mikro di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada TVS semalam.
Mengulas lanjut, Rizal berkata, inisiatif SME Corp memperkasa PKS tempatan juga dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan lain ditawarkan.
“Kita mahu mengukuhkan perniagaan serta perkhidmatan usahawan mikro melalui Program Pengukuhan Mikro Madani.
“Usahawan mikro yang berdaftar dengan SME Corp berpeluang untuk menikmati geran yang disediakan,” katanya.
Sementara itu Rizal memberitahu, terdapat juga inisiatif khusus seperti Geran Perniagaan Mikro serta Mikro Business Financing untuk pinjaman mudah.
“Sebenarnya kita juga mempunyai program seperti Program Belia Mikro@TUBE Tunas Usahawan Belia Bumiputera,” katanya.
Pada masa sama kata Rizal, SME Corp juga menawarkan baucar RM100 kepada usahawan mikro untuk berdaftar dengan pihaknya.
“Insentif ini diberikan di bawah penarafan status PMKS,” jelasnya.
Beliau menambah dengan adanya program atau inisiatif tersebut, ia akan memudahkan usahawan mikro mengurangkan kos perniagaan mereka.
“Ini juga akan membantu mengurangkan cabaran yang dihadapi seperti aliran tunai yang lemah serta meluaskan pasaran produk mereka,” katanya.
Menyentuh mengenai Program Pengukuhan Mikro Madani yang berlangsung hari ini, Rizal berkata program tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 usahawan.
“Menerusinya, SME Corp memberi taklimat berkenaan dengan program pengukuhan Mikro Madani sempena Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
“Ini diharap dapat menarik lebih ramai usahawan mikro untuk terus mengembangkan lagi perniagaan mereka,” kata Rizal.
Program Pengukuhan Mikro Madani yang dilancarkan pada 20 September lepas telah menerima peruntukan RM100 juta disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. – TVS