MARUDI, 30 Sept: Kerajaan Sarawak bersetuju menyediakan peruntukan berjumlah RM1 juta untuk sembilan sekolah menengah di kawasan pedalaman Baram membangunkan akses pelajar ke program bantuan komputer tambahan menerusi perisian ‘Khan Academy’.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu merupakan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuhkan lagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar di kawasan luar bandar.
“Inisiatif persendirian yang berjaya dilaksanakan di bawah pimpinan Datuk TH Tan dalam memperkenalkan program tuisyen di atas talian di mana program berkenaan dipantau oleh guru di SMK Temenggong Datuk Lawai Jau di Long San, Baram. Inisiatif berkenaan berkesan dalan menghasilkan pencapaian pelajar cemerlang. Antaranya yang mencapai empat A dan ke atas.
“Justeru, Tan dan pasukannya menubuhkan sebuah yayasan lain yang dipanggil Yayasan Hornbill, di mana komuniti perniagaan menyumbang untuk menyokong usaha kami.
“Untuk bajet projek ini, kami akan mengambil alih semua sembilan sekolah menengah di Baram untuk menggunakan teknologi ini.
“Maka, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setiap tahun untuk memastikan semua sembilan sekolah dapat mengambil bahagian dalam tuisyen di atas talian dengan menggunakan perisian ‘Khan Academy’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pecah tanah sebuah hotel di Pusat Bandar Marudi di sini, pada Sabtu.
Menurut Abang Johari sebagai permulaan, kerajaan negeri akan menyediakan RM1 juta setiap tahun kerana sekolah-sekolah terbabit memerlukan peralatan dan tutor yang diperlukan bagi kejayaan program tuisyen bantuan komputer tersebut.
“Kami memberikan tempoh lima tahun terlebih dahulu dan kami ingin melihat hasil daripada sembilan sekolah ini kerana pelajar luar bandar kami harus cemerlang dalam mata pelajaran STEM serta Bahasa Inggeris. Jika mereka boleh, maka kami akan pertimbangkan untuk melanjutkan program ini ke kawasan luar bandar lain,” katanya.
Beliau mendedahkan Khan Academy, yang berpusat di Silicon Valley, menggunakan teknologi terkini melalui sistem satelit yang dikenali sebagai Starlink.
“Starlink, pada asalnya adalah salah satu teknologi yang digunakan oleh Elon Musk, dan beliau juga berada di Silicon Valley.
“Jadi, orang-orang teknologi canggih ini dihubungkan. Maknanya Marudi, Baram dihubungkan ke Silicon Valley. Kami (Sarawak) dihubungkan dengan mereka (Silicon Valley),” katanya.
Abang Johari menambah satu kajian sedang dijalankan untuk menilai implikasi kos bagi Sarawak menyediakan pendidikan peringkat tertiari kepada penduduk Sarawak.
“Atas dasar ini, pelajar-pelajar harus mempunyai pengetahuan asas terutamanya dalam STEM. Dengan ini, kami boleh menghasilkan sumber insan modal yang berbakat dalam merealisasikan pelan pembangunan kami,” ujarnya. – TVS