Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Hotel SEDC Marudi, hari ini. Foto: Lorenzo Isaac (TVS)

Hotel di Marudi ‘buah tangan’ Kerajaan Sarawak untuk rakyat – Abang Johari

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

MARUDI, 30 Sept: Pembinaan hotel bertaraf tiga bintang di Marudi merupakan ‘buah tangan’ Kerajaan Sarawak yang diyakini akan melonjak sosioekonomi di sini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau optimis projek mega berkenaan akan memenuhi keperluan penduduk tempatan selain menyediakan penginapan untuk para pelancong.

Menurut Abang Johari, ketika bergelar Menteri Pelancongan dahulu, beliau telah mencadangkan idea untuk membina sebuah hotel di Marudi kepada Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selaku Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu.

“Kami mempunyai cadangan bahawa sektor perkhidmatan, khususnya pelancongan, boleh menjadi aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat di bahagian utara Sarawak.

“Sebelum ini, apabila Sultan Pahang dan Sultan Brunei datang untuk Regatta Baram, kami kekurangan kemudahan yang mencukupi untuk mereka menginap di Marudi.

“Oleh itu, semasa cadangan saya dengan Taib ketika itu, saya mencadangkan, ‘Kenapa tidak kita bina hotel di Marudi sebagai pengganti untuk rumah rehat kita?.

“Jadi, hari ini, kami rasa bahawa adalah sesuai untuk membina hotel bertaraf tiga bintang untuk penduduk tempatan dan juga pelancong,” katanya semasa majlis perasmian tapak hotel di Pusat Bandar Marudi, pada Sabtu.

Sementara itu, Abang Johari berkata pembangunan hotel adalah salah satu projek infrastruktur yang penting, selain daripada menyediakan bekalan elektrik dan air.

“Saya memberitahu Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) agar tidak mengenakan kadar yang tinggi kepada para pelancong. Jika terlalu mahal, orang tidak akan datang.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ingin membantu penduduk tempatan. Jadi, hotel ini lebih untuk memudahkan penduduk tempatan dan pelancong.

“Mulu bakal mempunyai sebuah hotel dan Marudi juga bakal mempunyai satu, yang akan memberikan manfaat dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui terdapat banyak tarikan di kawasan Marudi dan Baram, seperti kehijauan alam, budaya yang unik dan indah, terutamanya daripada komuniti Orang Ulu, hidangan yang lazat, dan banyak lagi.

“Aspek-aspek ini membuatkannya berbeza daripada tempat-tempat lain. Apabila anda mengunjungi Marudi, anda akan menjumpai sungai yang luas dan hutan.

“Pada waktu pagi, anda boleh mendengar nyanyian burung berkicauan yang tidak dapat anda temui di bandar. Jadi, ini sendiri sudah merupakan tarikan,” jelasnya.

Abang Johari turut menekankan kepentingan untuk memelihara dan melindungi habitat semula jadi, termasuk flora dan fauna sekitar.

“Strategi seterusnya kami adalah untuk membina jalan raya dari Marudi ke Long Terawan, projek yang membelanjakan lebih dari satu bilion ringgit. Ini bermaksud orang boleh memandu sepanjang jalan ke Long Terawan, melalui rumah panjang dan tempat-tempat seperti Long Lama, yang juga merupakan pusat tarikan,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan