KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sasaran negara untuk mencapai tahap imuniti kelompok seperti diunjurkan Pelan Pemulihan Negara, dapat disempurnakan susulan penambahan bekalan vaksin COVID-19 oleh pembekal utama negara.
Beliau berkata ke arah inisiatif ini, kerajaan akan berusaha lebih bersungguh-sungguh bagi memastikan bekalan berkenaan tiba ke negara ini mengikut jadual.
“Saya sedar di luar sana ramai yang bertanya, kenapa tak buat itu, kenapa tak buat banyak-banyak lagi, saudara Khairy (Khairy Jamaluddin) dah maklumkan berkali-kali memang kita boleh buat kalau banyak vaksin… kemudian kita terhad dan terbatas bukan kerana kita tak nak atau kerajaan sekat, tidak, kita kalau boleh nak habiskan semua dalam sebulan dua ni.
“Tetapi kita tak boleh kawal yang itu (bekalan vaksin) kerana pembekalnya datang daripada luar negara, jadi terpaksalah kita tunggu giliran kita, tapi dah terjamin bekalan itu akan tiba dalam satu masa yang telah dijadualkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Ahad.
Tambah Muhyiddin lagi, apa yang penting ialah proses pendaftaran vaksinasi perlu dipertingkatkan.
“Sekarang ini dah diberikan banyak kemudahan, boleh daftar secara MySejahtera, ‘online’ atau secara fizikal, atau kalau dah ada di tempat mereka itu PPV mikro yang dibuat sampai di kampung, masjid, surau, mereka boleh turun sahaja ke situ, bawa IC (kad pengenalan diri) dan akan didaftarkan dan nama yang dah dapat itu akan dimasukan ke dalam sistem MySejahtera,” katanya.
Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan, yang membantu melancarkan proses vaksinasi di PPV.
“Saya lihat tadi bersemangat, pagi-pagi datang sampai lewat petang dan malam, bekerja. Jumlah yang kita perlukan masih ramai, jadi kalau boleh mereka tampil ke depan menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan, dan boleh mempermudah dan mempercepatkan proses vaksinasi kita,” ujarnya.
Turut hadir Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
— BERNAMA