SIBU, 30 Sept: Kempen kesedaran berkaitan meminta pemilik haiwan menyerahkan anjing yang tidak mahu dipelihara lagi akan bermula, esok 1 Oktober di sini.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata, Â mereka yang menyerahkan haiwan itu kepada pihak majlis akan diberi insentif wang tunai berdasarkan saiz iaitu anjing dewasa dan anak anjing.
Menurutnya pihak majlis akan membayar wang tunai berjumlah RM50 untuk anjing dewasa dan RM10 untu anak anjing yang diserah kepada pihak majlis.
” Kempen ini akan dijalankan dalam tempoh selama sebulan pada Oktober tahun ini.
“Pemilik anjing atau orang awam boleh menyerahkan anjing atau anjing liar mereka yang tidak diingini ke Depoh MPS yang beralamat di Jalan Teng Chin Hua (berhadapan SMK Agama) pada jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.00 petang hingga 4.00 petang (waktu pejabat),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Clarence  menyatakan pihak majlis akan melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan haiwan yang telah diserahkan oleh orang rami.
“Kita menggalakkan mereka yang terlibat dalam kempen ini supaya memakai PPE yang betul semasa membawa anjing atau anjing liar mereka yang tidak diingini ke Depoh Majlis.
“Orang ramai juga tidak dibenarkan memasuki kawasan rumah atau harta benda persendirian orang lain untuk menangkap anjing bagi penebusan insentif,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya pemilik anjing atau orang awam akan diminta mengisi satu borang pengisytiharan yang lengkap dengan butir-butir nama, pengenalan diri, alamat dan menunjukkan tempat anjing itu lazimnya disimpan atau ditangkap.
“Kempen ini juga kepada kawasan di bawah bidang kuasa MPS dan anjing yang diserahkan mesti masih hidup,” katanya.
Menurut Clarence, semua anjing yang diserahkan hendaklah diuruskan dengan sewajarnya oleh pihak majlis mengikut Prosedua Operasi Standard (SOP) MPS serta atas nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Sibu.
“Tiada tuntutan akan dibuat atau dilayan selepas anjing-anjing diserahkan dan pihak MPS mempunyai hak mutlak untuk meminda mana-mana kriteria dari sempen dari semasa ke semasa,” tegasnya.. -TVS