KUCHING: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kesal apabila anggota yang sedang melakukan tugas memadam kebakaran diserang oleh beberapa individu di Kampung Belipat Lawas pada petang Sabtu.
Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman berkata laporan polis juga telah dibuat meskipun ibu kepada tertuduh merayu untuk pihak bomba tidak berbuat demikian.
“Pertama kali pegawai tersebut membuat laporan polis secara peribadi dan pada jam 12 malam tadi ibu kepada tertuduh merayu dimana tertuduh juga telah meminta maaf untuk pihak bomba menarik balik laporan yang dibuat.” kata Khirudin ketika dihubungi TVS pada Ahad.
Jelas Khirudin, tindakan tegas itu tetap diambil bagi memastikan masyarakat memahami tugas anggota bomba.
- Artikel ini mungkin menarik untuk anda
Mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988, seksyen 51 jika disabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut Khirudin insiden tersebut merupakan kejadian pertama berlaku di negeri ini.
Justeru Khirudin berharap kejadian seumpama ini tidak akan berulang lagi selain menyeru masyarakat untuk terus menyokong usaha JBPM dalam program pencegahan kebakaran dan juga aktiviti bomba komuniti.