KUCHING, 30 Sept: Persembahan ‘A Story of Ours: Us and Them,’ dipentaskan sejak semalam, 29 dan berakhir hari ini, 30 Sept di Archdiocesan Curia and Cathedral Pastoral Centre (ACCPC) di St Joseph’s Cathedral di sini.
Pementasan yang dijayakan oleh St. Joseph’s Family of Schools Kuching dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak (MSS) telah berjaya menampilkan gabungan laporan berita, hal ehwal semasa dan perjuangan kehidupan sebenar.
Kenyataan pihak penganjur hari ini, menyatakan pementasan itu berjaya memukau para penonton dengan adegan rumit.
Pementasan yang mencabar itu dilaksanakan melalui geran MySeni yang bertujuan menyokong dan mempromosikan seni dan budaya tempatan Sarawak.
Melalui adaptasi drama asal, “Us and Them”, yang ditulis oleh David Campton, penonton telah dibawa dalam kembara mengenali keadaan hati manusia.
Mencabar konsep dan cita-cita di sebalik sempadan dan perpecahan dalam masyarakat, produksi tahun ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mencerminkan dan merangsang pemikiran.
Penonton juga dibawa mengembara, dari permulaan persembahan yang menampilkan persembahan muzik yang rancak hingga ke kemuncak persembahan iaitu sandiwara, yang dipersembahkan oleh pelajar ketiga-tiga sekolah tersebut iaitu St. Joseph’s Private Primary School, St. Joseph’s Private Secondary School dan St. Joseph’s Private International School.
Pengetua St. Joseph’s Private Secondary School, Fr. Stanley Goh SJ turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan produksi sertas mengakui pementasan berkenaan tidak hanya bergantung dengan bakat atau kerja keras, semata-mata namun kreativiti mereka turut menyumbang kepada kejayaan.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian telah hadir menonton pementasan, semalam.- TVS