KUCHING, 30 Sept: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah mengedarkan sebanyak 1,000 tanglung dan kuih bulan secara percuma kepada orang ramai pada Festival Kuih Bulan di Taman Sahabat di sini pada petang semalam.
Datuk Bandarnya, Dato Wee Hong Seng berkata inisiatif berkenaan merupakan salah satu usaha dalam memupuk dan mengukuhkan hubungan budaya dan meraikan kepelbagaian, di samping mempromosikan perayaan sebenar kepelbagaian budaya dan perpaduan di Sarawak.
Menurutnya festival berkenaan mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran ratusan penduduk di sekitar Kuching dengan pelbagai tanglung berhias dan persembahan tarian singa.
Terdahulu, Wee bersama rombongannya turut berkunjung ke rumah Salvation Army di Samarahan menyantuni anak-anak yang kurang bernasib baik dan menyarankan untuk tidak menyisihkan kanak-kanak ini di musim Festival Kuih Bulan tanpa mengira agama dan bangsa.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina serta Persatuan Persahabatan Zong Ho Kuching.
Turut hadir, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China, Xing Weiping dan Penaung Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Kapitan, Tan Kun Gee. – TVS