KUCHING, 29 Sept: Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESTy) bakal mencadangkan kaedah jangka panjang kepada Indonesia sebagai usaha menyelesaikan masalah jerebu akibat pembakaran hutan secara terbuka di negera itu.
Timbalan Menterinya, Dr Hazland Abang Hipni berkata pihaknya bakal mengenengahkan sistem yang boleh menghasilkan biojisim sekali gus tenaga selain usaha menghentikan pembakaran terbuka.
“Ini kerana jerebu adalah disebabkan oleh pembakaran hutan, pembakaran pula adalah untuk tujuan pertanian. Pembakaran boleh dielakkan sekiranya pihak jiran kita bersetuju untuk menggunakan biojisim hutan-hutan tersebut dalam cara yang terkawal sekali gus sebenarnya boleh menghasilkan tenaga. Ini adalah langkah jangka panjang.
Jadi pembakaran tidak berlaku lagi, pokok-pokok sebaliknya ditebang dan akan ada satu sistem yang boleh menghasilkan biojisim. Ini juga boleh buat duit,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Jumaat.
Hazland menambah, beliau akan mewakili Sarawak untuk mencadangkan kaedah tersebut dalam mesyuarat bersama jawatankuasa SOSEK MALINDO (Sosio-Ekonomi Malaysia-Indonesia) dalam masa terdekat.
“Sarawak juga merupakan ahli di bawah SOSEK MALINDO. Jadi mungkin kaedah ini tidak pernah dibincangkan di peringkat ASEAN ataupun Sarawak Kalimantan. Jadi, sekurang-kurangnya bagi pihak Sarawak Kalimantan selepas ini saya akan mencadangkan kepada jawatankuasa itu.
Ia untuk mereka pertimbangkan satu cadangan daripada pihak MEESTy khasnya dan Sarawak amnya untuk menuju ke arah biojisim yang boleh menghasilkan tenaga daripada kita membakar dan mencemarkan udara,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Hazland memberitahu Sarawak bakal menjadi tuan rumah bagi Persidangan Kualiti Udara peringkat antarabangsa di Kuching, Sarawak pada Ogos 2024 anjuran World Air Quality Association.
Persidangan yang julung kalinya diadakan di Malaysia itu kata Hazland menjadi platform terbaik yang membuka peluang Sarawak untuk mengadakan dialog perbincangan yang serius dengan semua negara jiran.
“Ini termasuk China dan Jepun. Wakil negara itu juga akan datang jadi kami akan menyediakan cadangan-cadangan kami untuk persidangan tersebut.” – TVS