Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee semasa lawatan tapak ke Tanah Perkuburan Melanau Seduan. Foto: TVS

Peruntukan RM200,000 naik taraf Tanah Perkuburan Melanau Seduan fasa pertama – Michael

SIBU, 29 Sept: Tanah Perkuburan Melanau Seduan yang wujud sejak abad ke-18 di Sungai Merah di sini akan dinaik taraf secara berperingkat menerusi peruntukan berjumlah RM200,000.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee, peruntukan berkenaan merangkumi kerja menaik taraf fasa pertama tanah perkuburan tersebut.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata dana untuk menaik taraf salah sebuah tanah perkuburan tertua di Sibu tersebut disediakan menerusi geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Jelas beliau fasa pertama kerja menaik taraf tanah perkuburan tersebut membabitkan pembinaan tandas serta kerja-kerja menimbun tanah bagi menangani isu banjir yang kerap berlaku di kawasan tersebut.

“Saya di sini untuk membantu masyarakat menaik taraf beberapa bahagian tanah perkuburan ini. Ia terletak di sepanjang sungai dan menghadapi masalah hakisan tebing sungai dan banjir.

“Jadi, saya akan menggunakan dana RTP saya untuk membantu mereka meningkatkan aras tanah kubur (melalui kerja-kerja menimbus tanah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan tapak ke Tanah Perkuburan Melanau Seduan di Sibu, pada Jumaat.

Tiang juga berkata bahawa fasa kedua projek itu akan melibatkan pembinaan tembok penahan bagi mengelakkan hakisan berterusan berhampiran tebing sungai.

“Saya juga mahu mengadakan dialog dengan masyarakat. Saya dapati ini adalah bahagian yang sangat berharga dalam sejarah warisan Sibu, terutamanya mengenai penempatan Melanau,” tegasnya.

Tiang turut mencadangkan pembinaan taman peringatan di pintu masuk tanah perkuburan bagi mendidik masyarakat tentang sejarah Seduan Melanau.

Jelas beliau tapak tersebut mempunyai sejarah yang tidak ternilai dan harus dilindungi serta dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

Sementara itu, bekas Ketua Masyarakat, Sahari YBU, 82 tahun, berkata, kaum Melanau di Kampung Nangka mengadakan gotong-royong di tanah perkuburan itu hampir setiap minggu bagi memastikan kebersihannya.

Menurutnya mereka melakukannya secara sukarela kerana ia adalah tempat nenek moyang mereka bersemadi.

Sahari dalam pada itu berterima kasih kepada Tiang kerana membantu masyarakat menaik taraf tanah perkuburan itu serta kerajaan kerana memberi sokongan kepada masyarakat sebelum ini dalam penyelenggaraan tanah perkuburan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan