KUCHING, 29 Sept: Beberapa kawasan di Sarawak diramal berdepan amaran hujan dan ribut petir menjelang minggu hadapan, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak Khairul Najib Ibrahim berkata keadaan taburan hujan yang agak rendah menyukarkan masalah jerebu di Sarawak untuk diatasi.
“Hujan dan ribut petir hanya dijangka berlaku di satu dua tempat di kebanyakan bahagian di Sarawak.
“Oleh yang demikian keadaan cuaca tersebut tidak banyak dapat membantu mengurangkan keadaan berjerebu yang disebabkan oleh jerebu lintas sempadan yang datang dari negara jiran.” kata Khairul Najib ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Setakat pukul 2.30 petang hari ini, 11 kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana, sementara Sibu mencatatkan bacaan IPU yang baik.
Pada Khamis, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka sehingga boleh menyebabkan keadaan jerebu di Sarawak bertambah teruk.
“Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak ketika ini tidak akan mengeluarkan sebarang permit pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi TVS pada Khamis. -TVS