GEORGE TOWN, 29 Sept: Sembilan individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita dengan meminta tebusan RM540,000, tiga minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia antara 29 hingga 41 tahun didakwa secara bersama menculik warga Indonesia yang berusia 36 tahun itu dengan tujuan menuntut wang tebusan RM540,000.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit Pangsapuri Sri Aman, Paya Terubong di sini kira-kira pukul 7 pagi pada 7 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Darrshini, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Chiang Kan Hong.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula 11 Disember depan.
Media sebelum ini melaporkan wanita warga Indonesia berusia 36 tahun diculik dan dikurung selama 10 hari selepas suaminya didakwa gagal membayar hutang kepada seorang lelaki tempatan berjumlah RM540,000.
Mangsa dikatakan diikat dengan rantai besi, dicucuh puntung rokok dan jarum serta disebat dengan batang paip hingga cedera pada badan.
Wanita itu yang diculik di rumah rakannya telah dikurung di Butterworth dekat sini serta Puchong dan Shah Alam, Selangor.
Dia yang datang ke negara ini untuk bercuti telah diselamatkan pasukan polis menerusi Op Scorpion Rantai pada 17 September di Shah Alam. – TVS