DEBAK, 29 Sept: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Debak awal pagi Khamis ditemukan lemas.
Mangsa, Mohd. Naqib Iman Nasriman, 6, dijumpai oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan penduduk kampung yang melakukan pencarian di bahagian hilir sungai.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 3 Sri Aman Penguasa Bomba Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, mangsa ditemukan terapung sekitar 10 malam.
Katanya, sejurus menerima panggilan, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di situ, didapati mayat mangsa telah dibawa ke rumahnya di Kampung Hilir Debak Laut.
“Mangsa dijumpai terapung pada jarak 700 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Betong.
“Dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 11.20 malam,” katanya.
Terdahulu, SAR dimulakan pada 11.35 pagi sehingga ditangguhkan pada 5.50 petang.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan pergi ke arah sungai dan menuju ke pengkalan perahu Kampung Hilir Debak Laut seorang diri sekitar 9.15 pagi.
Operasi pencarian turut disertai pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama 60 orang penduduk kampung menggunakan 20 buah perahu melibatkan radius dua kilometer (km) ke hulu dan ke hilir sungai berkenaan. -TVS