KUCHING, 28 Sept: Aiskrim Gula Apong pastinya menjadi pilihan ramai sebagai pencuci mulut kerana memiliki keenakan tersendiri.
Inovasi terkini teknologi makanan menyaksikan muncul pula aiskrim berperisa buah dabai dan terung asam.
Sarawak Agrofest 2023 sedia ruang promosi produk Bumi Kenyalang
Terbaharu, hasil pertanian terkenal Sarawak iaitu lada juga dijadikan sebagai perisa aiskrim.
Dua usahawan tempatan yang ditemui TVS pada Sarawak Agrofest 2023 yang sedang berlangsung merupakan antara yang menawarkan Aiskrim Lada Sarawak.
Pengarah AB Group Trading, Abraham Wong berkata, dia dan rakan kongsinya yang juga Pengarah AB Group Trading, Bryan Yii Chee Hang menggunakan pentas Sarawak Agrofest sebagai platform unguk mempromosikan produk baharu mereka.
“Kami ingin orang ramai tahu tentang Lada Sarawak namun menggunakan pendekatan berbeza apabila mencipta aiskrim berperisa Lada Sarawak.
“Semua orang boleh mencuba aiskrim ini dan menikmati kepedasan kerana menggunakan lada,” katanya.
Selepas Sarawak Agrofest 2023, mereka merancang untuk membuka kiosk di kawasan pelancongan bagi memperkenalkan aiskrim perisa itu kepada pelancong luar.
Kongsinya lagi, mereka akan memperkenalkan perisa baharu namun mengekalkan perisa Lada Sarawak.
“Kami merancang untuk mengeluarkan aiskrim perisa baharu iaitu gabungan lada dan limau namun masih dalam peringkat perancangan dan uji kaji sedang dilakukan,” katanya.
Abraham mahu produk aiskrim berperisa Lada Sarawak berjaya menambat hati pelanggan dan popular seperti Aiskrim Gula Apong dan Aiskrim Dabai. -TVS