SARIKEI, 28 Sept: Pelbagai insentif disediakan untuk golongan yang kurang bernasib baik membuktikan mereka ini tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata terutamanya golongan warga emas yang diakuinya banyak menabur jasa kepada negeri ini.
“Kita tidak boleh menafikan, golongan ini (warga emas) memiliki pengalaman yang amat luas dan besar jasa mereka kepada pembangunan negeri.
“Justeru, kita juga harus menghormati dan berbuat baik kepada mereka dan budaya murni seumpama ini secara tidak langsung mewujudkan masyarakat penyayang dan harmoni seterusnya, menyumbang ke arah kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan Sarawak,” katanya dalam satu majlis sempena Perayaan Kuih Bulan di sini, semalam.
Dalam pada itu beliau berazam untuk terus membantu sekolah dan pelajar di kawasannya bagi memastikan mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Ini sebahagian inisiatif penting untuk menarik minat dan meningkatkan penyertaan golongan muda terhadap bidang akademik selain memperkasakan mutu pendidikan.
“Antara yang terus menjadi tumpuan saya ialah pendidikan dan meneruskan bantuan persekolahan kepada semua pelajar khususnya mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya.- TVS