Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pengambilan Khas Pendidik Besar-besaran Atasi Isu Kekurangan Guru

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan melaksanakan pengambilan khas secara ‘one-off’ seramai 18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, permohonan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.

“Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran ini bertujuan menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, selain menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media secara maya, mengenai pengambilan khas itu pada Ahad.

Menurutnya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Radzi berkata, pengambilan khas dibuat hasil perbincangan secara menyeluruh dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Menurut Radzi, cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.

“KPM perlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tapi bekalan (guru) yang ada untuk subjek tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan untuk mata pelajaran yang mana opsyennya telah penuh, mungkin lebih ramai.

“Dan disebabkan ketidakpadanan ini, jadi wujud keadaan sukar bagi KPM mengambil guru baharu untuk memenuhi kekosongan yang ada,” katanya.

Antara subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Radzi berkata kerjasama KPM, JPA dan SPP, antaranya mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran untuk menyusun kelayakan dan kelulusan bakal guru, bagi memastikan sumber bekalan lebih luas dan membolehkan pemilihan calon guru yang berkelayakan, untuk opsyen yang diperlukan.

“Kepelbagaian kaedah lantikan juga akan diaplikasikan iaitu pelantikan dibuat berdasarkan pendekatan holistik mengikut keperluan semasa, bagi atasi masalah kekurangan guru yang berlarutan sejak lama,” katanya.

Radzi berkata, kerjasama itu juga akan meliputi urusan panel penemuduga, logistik dan keurusetiaan.

Ditanya jika pengambilan khas itu mengutamakan calon yang mempunyai latar belakang ikhtisas pendidikan sahaja, Radzi berkata calon yang mempunyai kelulusan lain juga akan dipertimbangkan menggunakan pendekatan holistik.

–BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan